Sunday, October 26, 2008

Preface

Bismillahirrahmanirrahim....


Alhamdulillah kerana diberikan kesempatan untuk masih bernafas di bumi ini.Pernahkah kita berfikir sejenak tentang nikmat yang diberikan kepada kita?Jikalau cuba dihitung semuanya nescaya ada yang akan terlepas pandang tetapi adakah kita menyedari hakikat tersebut? Subhanallah betapa agungnya Yang Maha Esa kerana masih lagi mengurniakan nikmatNya kepada kita sedangkan kita tidak pernah menghargaiNya Bagaimana menghargaiNya? Cukupkah dengan sekadar mempunyai nama seorang islam dan solat lima waktu?Alangkah malunya jika bagi kita itu sudah cukup untuk membuktikan keislaman kita. Bagaimana dengan hak kita sebagai seorang islam pula yang patutnya diikuti dengan sahsiah dan peribadi islam?Pernahkah kita memikirkannya?Mungkin terlalu banyak persoalan di sini tetapi percayalah bahawa Allah telah berfirman bagi mereka yang berakal mereka akan memikirkannya.Akal yang selari dengan tuntutan Ilahi InsyAllah akan melahirkan buah fikiran yang bisa menguatkan lagi iman di jiwa.


Allah telah berfirman:


"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalan-Nya agar kamu beruntung"


(Al-Ma'idah 5;35)





Pernahkah kita melaksanakan tuntutan di atas? Alhamdulillah jika kita sudah mula berfikir akan keagungannya maka lebih baik lagi jika kita cuba mendekatkan diri kepadanya. Sesungguhnya Nabi junjungan kita Rasulullah telah bersabda ;

"Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikan kefahaman dalam Ad-din"



Oleh itu berusahalah kita untuk mencari hidayah dan rahmat Allah agar sentiasa kita tergolong dalam kalangan orang terpilih yang menegakkan agama Allah. Sesungguhnya hendaklah kita ingati bahawa tujuan utama kita diciptakan adalah sebagai khalifah di muka bumi ini seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 30:



"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.' Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.' "



Begitu tinggi sekali kita diangkat oleh Ilahi dalam kalangan makhluknya sehingga para malaikat dan iblis disuruh untuk sujud kepada bapa kita Adam. Oleh itu mengapa kita berusaha untuk melebihi malaikat yang siang malam bertasbih tanpa wujud rasa ingkar kepada-Nya. Di manakah letaknya diri kita? Sungguh apabila memikirkan, alangkah betapa banyaknya dosa dan titik hitam di hati ini. Namun begitu ingatlah bahawa Allah itu Maha Pengampun dan akan diampunkan dosa hamba-Nya yang menyesali dan bertaubat mencari keredaan-Nya. Agak-agaknya ini saja yang saya mampu coretkan setakat ini. Mohon ampun seandainya ia tidak sempurna dan diharap dapat menjadi pengisian. Saya ini hanyalah hamba-Nya yang tidak sempurna dan masih lagi mencari ilmu untuk diisi didalam dada. Saya mengharapkan teguran dan bimbingan dari sahabat-sahabat yang lain. Sesungguhnya andai 7 lautan dijadikan tinta untuk menulis keagungan-Nya nescaya tidak mencukupi. Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu datang dari kekhilafan diri sendiri. Wallahua'lam. Wassalamua'laikum.